MINYAK KAYUPUTIH CAP BURUNG KAKATUA BAGUS UNTUK BAYI BARU LAHIR


Assalamualaikum.

Sejak menimang cahaya mata pertama lagi susah betul nak cari minyak kayu yang betul-betul bagus. Macam-macam jenis minyak bayi yang saya cari semuanya saya tak berkenan baunya. Dari minyak sampai ke losyen dari pelbagai jenama semuanya saya dah cuba tapi tetap tak berkenan di hati.



Suatu hari, abah saya balik dari bandar Temerloh, dia tunjuk minyak kayu putih cap burung kakatua. ‘Eh, baru jumpa minyak ni!’. Betul, susah sungguh nak jumpa kalau ke Guardian Pharmacy atau Watsons memang takkan jumpa. Kalau ke kedai runcit pun tak pernah jumpa. Pernah juga cari kat butik barangan bayi pun saya cari tak jumpa. Kat Temerloh ni, selain kedai butik bayi, ada jual jugak kat sengsei dan juga TF Temerloh.

Minyak ni turun temurun tau, baunya pun best sangat! Masa saya kecil-kecil dulu… umi memang suka pakaikan minyak ni di tapak kaki, di pusat dan belakang badan.  Bayangkan minyak ni dah wujud sebelum saya lahir sedangkan umur saya sekarang ni almost 30 years old! Minyak kayu putih ni langsung tak panas, Cuma berangin sikit aje dan sangat sesuai untuk bayi baru lahir sebab minyak kayu putih burung kakatua ni dah disuling sebanyak 3 kali!

Membantu dalam :


  • Gigitan serangga 
  • Kembung Perut
  • Selsema
  • Sengal otot
  • Terseliuh

Saya pernah juga cuba cari lagi kat KL minyak ni, memang susah nak jumpa tapi, pernah terjumpa dijual kat Ampang Park Mall. Senang rasa hati sebab lepas ni kalau minyak kayu putih ni habis, bolehlah saya pergi beli kat sana. Cuma, risau juga sebab ada khabar mengatakan Ampang Park dah nak ditutup untuk projek pembinaan kan… tapi, saya harap lambat lagilah nak tutup sebab seriously, susah betul nak cari minyak kayuputih cap burung kakatua kat sini tau!


Sekian.

AWAS, BAHANA PENYAKIT 'AIN


Situasi A
“Amboii, putihnya… comelnya… cantiknya mata dia!” Kata Mak Cik jiran sebelah yang datang bertandang setelah dapat tau aku baru melahirkan anak sulung. Mak Cik jiran sebelah datang bersama dua orang jiran yang lain asyik memuji bayiku sambil tak putus-putus pandangan mereka membelek bayiku yang baru bangun tidur.

Situasi B
Upload Picture…
“Baby Day 1” Alhamdulillah, saya telah selamat bersalin baby girl!
Comment 1: Wah, comelnya… congratulation!
Comment 2: Alhamdulillah, selamat berpantang…
Comment 3: Gebunya kulit baby awak… gerammm! Hihihi…
Comment 4: Mata bulat, hidung pun mancung… lawa ni bila besar nanti! Muah ciked!

Situasi C
“Eh, kenapa kulit baby awak ni lain ye? Rambut dia pun nampak perang sangat. Uniknya…!” Ujar Anak jiranku. Dia kelihatan sangat teruja dan pelik dengan kulit bayiku yang berwarna keperang-perangan. “Mungkin sebab baka bapak dia ni… hahaha,”balasku sambil tertawa. Maklumlah, suamiku orang Aussie campuran Mexico. Mungkin sebab itulah anakku banyak mewarisi gen suamiku.

Ketiga-tiga situasi diatas sebenarnya boleh menyumbang kepada penyakit ain. Apakah yang dimaksudkan dengan penyakit ain? ‘Ain itu diambil dari kata ‘ana-Ya’inu (bahasa arab) ertinya apabila ia menatap dengan matanya.



Asalnya adalah daripada kekaguman orang yang melihat sesuatu, kemudian diikuti oleh jiwanya yang dengki, kemudian menggunakan tatapan matanya untuk menyampaikan hasad jiwanya kepada orang yang dipandangnya. Sehingga, apa yang dilihat oleh hati yang hasad ini dapat membahayakan orang lain. Secara zahirnya, lisannya menyatakan pujian, namun disertai rasa dengki yang membuak-buak, hingga syaitan turut berperanan dalam panahan ‘Ain hingga tepat pada sasarannya.

Sebagaimana pernah terjadi di zaman Rasulullah SAW. Baginda pernah melihat anak perempuan di rumah Ummu Salamah isteri baginda. Di wajah anak itu ada tanda kehitaman. Baginda kemudian berkata kepada Ummu Salamah, “Ruqyahlah dia kerana dia terkena ‘ain.”(HR Bukhari dan Muslim).

Seperti yang dijelaskan, bahawa penyakit ‘ain tidak hanya disebabkan oleh orang yang iri hati dan dengki terhadap sesuatu yang dipandangnya. Bahkan, setiap mata yang memandang takjub terhadap sesuatu dengan izin Allah juga boleh menyebabkan pengaruh buruk ‘ain walaupun orang tersebut tidak bermaksud menimpakannya.

Hal ini didasari firman Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 39. Imam Ibnu Katsir menafsirkan ayat tersebut dengan mengatakan: "Ketika engkau masuk suatu kebun dank au berasa takjub akan keindahannya, mengapa engkau tidak memuji Allah atas nikmatyang telah diberikan kepadamu seperti nikmat harta dan anak keturunan yang tidak diberikan kepada selain engkau dan mengapa kamu tidak mengucapkan masya’Allah, la haula wala quwwata illa billah. Mendoakan keberkahan pada apa yang dilihatnya.

Tanda-tanda terkena penyakit ‘Ain:


  • Denyutan jantung tidak teratur
  • Kerap berasa mengantuk
  • Insomnia
  • Suka marah-marah
  • Kerap berasa seram sejuk
  • Sering mimpi berkaitan dengan mata atau ular.
  • Tidak fokus dalam kerja/study

Tanda-tanda bayi/kanak-kanak yang terkena penyakit ‘Ain:


  • Menangis tanpa sebab dan tanpa henti
  • Kebiasaannya mendengar kata tiba-tiba melawan
  • Berubah menjadi malas dan kuat tidur


Cara untuk mengatasi penyakit ‘ain adalah dengan memperbanyakkan membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Surah Al-Fatihah. Ayatul Kursi juga sangat bagus diperbanyakkan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang maghrib dan sebelum tidur. Baca 2 ayat terakhir surah Al-Baqarah dan mendoakan dengan doa-doa yang disyariatkan dalam ruqyah.

Semoga penerangan tentang perkara ini diambil berat oleh kita semua, lebih-lebih lagi oleh kebanyakan ibu bapa yang memiliki anak-anak kecil. Suami saya pernah bercerita tentang anak rakan sepejabatnya yang pernah terkena penyakit ini. Menjelang malam, mesti bayinya menangis tanpa henti... siangnya pula tidur sahaja. Sampai suatu masa, bapanya bertemu ustaz untuk mendapatkan penawar. Setelah dibacakan ayat-ayat ruqyah dan diubati secara perubatan Islam, Alhamdulillah... bayi tersebut bebas dari gangguan penyakit 'ain.

Pesan saya, sentiasa beringat untuk ibu bapa menjaga pertuturan dan memuat naik gambar-gambar anak. Jika keterlaluan, boleh mengundang padah penyakit 'ain ini. Setiap pandangan rasa takjub dan hasad, boleh menyumbang kepada kemudaratan.

Sekian.

DATANG HAID TAPI MENGANDUNG | BUNTING PELANDUK

Assalamualaikum.

Biasanya kita cuma dengar kalau wanita yang cepat mengandung anak pertama selepas hari perkahwinannya, orang akan menggelarnya bunting pelamin. Tapi pernahkah awak semua tahu tentang bunting pelanduk? Pada mulanya, saya juga tertanya-tanya bagaimanakah boleh mengandung bunting pelanduk itu?

Pertama kali mendengarnya, apabila umi saya ada menyebut-nyebut tentang bunting pelanduk. Saya bertanya dia bagaimana boleh terjadi bunting pelanduk? Umi menjawab, istilah bunting pelanduk tu apabila seseorang wanita itu hamil tetapi masih datang haid/darah kotor. Terkejut juga saya mendengarnya, bagaimana pula boleh terjadi begitu?

Jawapannya, berkemungkinan semasa mula hamil masih ada saki baki darah kotor yang tertinggal, maka setiap bulan wanita tersebut masih datang haid/darah kotor. Ini cuma andaian orang dulu-dulu. Kalau ada istilah/penjelasan dalam perubatan, mohon komen di ruangan komen ya!😊

Namun, awak semua jangan salah faham dulu ya!

Rajah pergerakan janin dalam fasa menuju ke kawasan peranakan wanita.


Wanita yang hamil tetapi masih datang haid/darah kotor tidak sama dengan wanita yang datang haid/darah kotor biasa. Wanita hamil ini akan didatangi haidnya hanya untuk jangkamasa terlalu pendek iaitu 1-3 hari sahaja! Darah yang turun juga memiliki implementasi sangat ringan juga cuma sedikit dan beberapa tompok (berwarna kecoklatan) sahaja dan haid tersebut tamat dalam tempoh yang amat singkat.

Mulanya, saya sendiri sukar untuk percaya hinggalah saya mengalaminya ketika mengandung anak kedua. Saya tidak menjangka selepas mengalami datang haid/darah kotor yang banyak saya telah pun mengandung. Kerana tiada alahan mabuk atau loya seperti kebanyakan wanita hamil yang lain saya langsung tidak mengesyaki apa-apa.

Pada bulan berikutnya, kitaran haid saya datang lagi dan ia cuma datang dalam jangkamasa terlalu pendek iaitu sehari dan sangat sedikit, cuma setompok dua darah (berwarna kecoklatan) sahaja.

Pada fikiran saya, mungkin sebab saya stress kerana kerap berulang-alik Kuala Lumpur-Temerloh kerana anak sulung saya, Nabihah dijaga oleh umi saya di sana. Sudahlah setiap minggu saya perlu berulang-alik, malah saya juga terkejar-kejar untuk buat stok lebih kurang 120-130 oz seminggu untuk bekalan susu beku Nabihah.

Susu badan saya mula berkurangan dan Nabihah mula meragam jika saya menyusukannya secara ‘direct feeding’. Kebetulan masa tu raya puasa, maka saya sibuk ke sana sini untuk beraya. Pada saya, mungkin sebab tak berapa nak jaga pemakanan dan kerap juga saya terlewat makan, maklumlah hari raya dan beraya pula sebelah keluarga mertua. Disebabkan taknak dikata cerewet saya telan saja makanan apa yang ada semasa di kampung.

Kemudian, bulan seterusnya kitaran haid saya tiba tetapi saya tidak didatangi haid/darah kotor walaupun setitik. Hairan juga saya, tapi saya fikir mungkin faktor saya menyusukan Nabihah. Susu badan saya juga masih berkurangan walaupun sebulan telah berlalu. Disebabkan rasa sedikit risau, pernah saya minta suami belikan ubat pecah darah agar saya tidak mengandung terlalu cepat. Tapi, masa tu hati berbelah bahagi juga nak beli. Suami juga cakap, tak payah belilah ubat tu.

Bulan seterusnya, saya didatangi haid tetapi cuma 2 hari dan sehari cuma setompok sahaja darah yang ada. Saya dah mula keliru dan datangnya dalam keadaan serupa main-main. Masa ini, saya pulang ke Temerloh kerana tiba hari raya Aidiladha. Saya juga rasa tak sedap hati sebab perut saya kelihatan agak buncit sedangkan saya masih lagi berbarut. Setiap kali berbarut juga, perut saya pasti berasa senak hingga terpaksa melonggarkan ikatan barut tersebut dan akhirnya saya malas hendak memakinya lagi.

Kadangkala juga saya terasa seperti ada benda bergerak-gerak didalam perut. Bila saya ajukan soalan pada umi saya tentang masalah saya, umi menjawab mungkin cuma angin dalam perut sebab terlewat makan. Seterusnya, saya kembali ke Kuala Lumpur dan mula bekerja setelah bercuti beberapa hari.

Ada juga saya bertanya kawan-kawan sebab risau, perut saya nampak membuncit. Keadaan haid datang tapi sehari dua saja kemudian tamat. Tak pernah saya mengalaminya sebelum ini. Kawan-kawan terus mengesyorkan saya membeli pregnancy test dan terus melakukan ujian  sekadar untuk memastikan keadaan saya. Walaupun berat hati untuk melakukan ujian kehamilan, saya perlu juga lakukan demi kepastian.

Akhirnya, saya beli pregnancy test dan hasil dari ujian tersebut saya sememangnya telah hamil. Saya terus rujuk keadaan saya di KKIA berhampiran dan membuat dua kali scan untuk pastikan umur bayi di dalam kandungan. Ternyata, usia kandungan saya telah menceah 18 minggu!

Saya benar-benar terkejut kerana tidak menyangka saya hamil walaupun haid saya datang setiap bulan. Pada bulan berikutnya, saya masih lagi didatangi haid (tompokan berwarna kecoklatan) dalam  tempoh sehari dua.

Pelik tapi benar!

Tidak pernah saya bermimpi untuk bunting pelanduk seperti ini, kedengaran unik namun, ia merisaukan kerana sukar untuk pastikan samada saya mengandung atau tidak sedangkan bayi di dalam perut telah semakin membesar. Jika saya tak melakukan pregnancy test dengan segera dan terasa ada pergerakan dari dalam perut, mungkin hingga kandungan masuk ke trimester ke-3 agaknya baru saya sedar!

Kandungan kedua saya ni juga tidak terlalu menonjol, perut saya juga tidak begitu kelihatan lebih-lebih lagi ketika saya duduk di kerusi. Saya pernah ditegur kerana kelihatan berisi dan gemuk! Saya cuma ketawa dan mengatakan sebenarnya saya mengandung, sudah 7 bulan dan mereka yang bertanya tadi mesti terkejut dan memohon maaf.

Semoga awak semua yang sudi membaca tentang pengalaman saya ini. Semoga juga dapat memberi panduan dan pengajaran kepada kita semua. Hakikatnya, bahaya sebenarnya jika tidak sedar diri sendiri mengandung. Bahaya buat bayi dan juga ibu tersebut kerana sekiranya langsung tidak tahu mengandung selama 9 bulan, mungkin boleh terberanak di mana-mana tempat tidak sepatutnya dan mengundang tumpah darah yang boleh meragut nyawa ibu atau anak atau kedua-duanya! 


Sekian.

SERONOK DI BIG BAD WOLF BOOK DISEMBER 2016

Assalamualaikum.

Wah, tak sangka... pertama kali tau saya menjejakkan kaki ke sini!


Memang seronok sangat sebab dapat shopping buku-buku untuk anak-anak dan diri sendiri. Saya ni sebenarnya sangat gemar membaca, kalau dulu masa saya masih anak dara sanggup menapak ke ekspo buku dan bersesak-sesak untuk memilih buku untuk dibaca. Sekarang bila anak-anak dah mula boleh bertutur dua tiga patah perkataan saya usaha juga agar dapat membawa mereka ke Big Bad Wolf Book kali ini.

Semasa masih menuntut di Universiti, kerajaan bagi baucer buku RM 200 saya tak akan jual hanya untuk tukarkan kepada wang tapi saya memang beli buku yang saya suka. Siapa nak bagi RM 200 kan untuk beli buku? Saya ni memang hantu buku ilmiah, majalah dan novel. Saya boleh tahan duduk membelek pelbagai jenis majalah, buku dan novel berjam-jam lamanya daripada pergi window shopping tau!

Last year, saya tak berkesempatan nak pergi sebab Nabihah masih kecil dan saya pula sedang mengandung anak yang kedua. Tahun ni, Alhamdulillah… Anak dua-dua begitu senang nak dikawal dan jenis sukar nak meragam. Walaupun saya dan suami bawa mereka pada tengah malam, mereka sangat gembira walaupun ada kalanya masing-masing tertidur sebelum sampai ke tempat ekspo.





Apa yang best sangat Big Bad Wolf Book? Bagus sangat sebab korang boleh dapat buku ber’genre’ Inggeris, buku-buku travel dan buku lainnya dengan harga sangat mampu milik. Maklumlah, kalau nak beli buku sebegini di kedai-kedai buku, harganya sebuah sahaja pun boleh mencecah RM 50!

Bestnya lagi, bila dah sampai ke sini anda boleh pilih buku apapun yang menarik hati anda tanpa gangguan lebih-lebih lagi jika anda pergi semasa hari bekerja dan waktu tengah malam kerana tempat ni dibuka 24 jam. Kawasan yang disediakan juga cukup luas dan taklah sampai bersesak-sesak dan berhimpit-himpit dengan orang lain.





Walaupun banyak diskaun untuk buku-buku yang dijual tapi taklah sampai saya nak beli terlalu banyak sebab nak memupuk anak-anak membaca ni biarlah dari sedikit lama-lama jadi bukit. Lagipun dengan umur mereka 2 tahun hingga 3 tahun, buku yang sesuai pun agak terhad. Kalau ikutkan hati saya yang teruja ni, mahu juga saya beli kesemuanya dari bahagian kanak-kanak. Memang seronok sebab buku mereka semuanya berwarna-warni dan bergambar.



Antara hasil tangkapan yang saya dapat buat masa kat Big Bad Wolf kali ini. Tak sempat nak capai banyak sebab hubby saya kerja pagi esoknya.


Kalau awak semua nak ke Big Bad Wolf Book ni masa akan datang, silalah pergi pada weekday dan disarankan waktu tengah malam keatas. Kalau kebetulan cuti pun boleh sahaja untuk ke sana pada waktu siangnya cuma bimbang lalulintas sesak dan sukar dapat parking.

Kadar Caj Parking di MIECC:

Isnin-jumaat : RM 3
Sabtu-Ahad : RM 4

Kalau anda hendak parking di The Mines pula, anda akan dikenakan caj per’hour. Saya lebih suka pilih ke MIECC sebab sekali masuk terus bayar tak kiralah berapa lama pun saya duduk dalam tu. Cuma terkilan sedikit sebab saya ke sana pada jam 11.30 tapi bila sampai, waktu masa tu dah hampir jam 1 pagi, maka kami kena bayar RM 4 untuk sekali masuk. Kalau kami awal sikit jumpa pintu masuk mesti dapat lagi bayar RM 3 sahaja.

Memasing dah masam mencuka sebab mengantuk nak tido.


Semoga tahun akan datang kami sekeluarga ada rezeki untuk pergi lagi ke Big Bad Wolf Book! Insha’allah… Amiin. 


Sekian.

SUNAT TAHNIK BAYI PADA HARI KE - 7 KELAHIRANNYA

Assalamualaikum.



Seperti kita sedia maklum, sebaik selesai sahaja kelahiran bayi si bapa perlu mengazankan bayi agar ayat pertama yang didengarinya adalah kalimah Allah. Kemudian, pada hari yang ke-3 disunatkan memberikan nama yang baik-baik untuk anak tersebut. Pada fasa inilah, si bapa sibuknya tidak terkata kerana nak menguruskan uri bayi untuk ditanam, mendaftarkan nama sebaik kelahiran bayi di Jabatan Pendaftaran Negara dan menguruskan isteri untuk mula berpantang.

Namun, ada sesetengah masyarakat kita yang tak pernah tahu tentang sunnah tahnik pada hari ke-7 usia kelahiran bayi, ia dipanggil orang melayu kita sebagai belah mulut bagi bayi yang baru dilahirkan dan sunnah juga mencukur rambut bayi yang baru dilahirkan untukmembuang kekotoran semasa berada di dalam perut ibunya, kemudian ditimbang bersamaan gram emas dan wang itu disedekahkan kepada para fakir miskin atau yang berhak menerimanya.




Gambar anak saudara sebelah suami yang bertahnik dengan abah saya


Maksud Tahnik

Tahnik maksudnya oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani ialah mengunyah sesuatu kemudian meletakkan/memasukkannya ke mulut bayi lalu menggosok-gosokkan ke lelangit mulut. Pada masa kini, ibu bapa bayi biasanya akan memanggil alim ulama ke rumah untuk memberikan bayi manisan seperti kurma, jika tiada kurma boleh menggunakan ruthob (kurma muda), kismis, madu dan sedikit air zamzam untuk dicalit pada lelangit bayi agar merasai kemanisan dari makanan tersebut.

Sebenarnya, ia boleh dilakukan oleh ibubapa bayi itu sendiri atau ke rumah orang-orang yang dianggap soleh untuk ditahnikkan. Pada zaman nabi Muhammad SAW, anak-anak yang lahir telah dibawa kepada Rasulullah SAW untuk ditahnik oleh baginda.  Afdhal melakukan tahnik dengan buah tamar, kerana mengikut amalan Rasulullah SAW kerana buah kurma adalah lembut dan manis.

Dalam satu riwayat hadis, Anas bin Malik menceritakan, aku telah membawa Abdullah bin Abi Talhah ketika beliau dilahirkan kepada Rasulullah SAW ketika baginda memakai jubah (aba’ah) sambil menginaikan untanya.

Lantas baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai buah tamar?” Aku menjawab, “Ya”. Lalu aku menghulurkan beberapa biji buah tamar, dan Rasulullah SAW memasukkan ke dalam mulutnya. Lalu baginda mengunyahnya kemudian membuka mulut baginda dan mengeluarkan semula tamar yang dikunyah dan diletakkan di mulut bayi itu.

Lantaran itu bayi tersebut menggerakkan lidahnya menghisap tamar tersebut. Kemudian baginda menyebut: “Yang disukai orang ansari ialah tamar dan namakannya dengan nama Abdullah”. (HR Muslim 3995, lihat al-NawawiSharhsahih Muslim 7/269).

Tujuan dan hikmah bertahnik

Bertahnik ini adalah untuk melatih bayi menggunakan deria rasa pada lidah ketika bayi menerima susu ibunya dan makan bahkan dapat menguatkannya. (ibnu Hajar, Fath Al-Basr 15/390).

Dalam kajian sains juga ada menunjukkan bahawa deria rasa pada lidah (taste bud) bayi terhadap rasa masam dan manis telah terbentuk sejak dilahirkan. Tujuan Allah SWT menjadikan bayi mempunyai deria rasa pada usia yang awal ialah bagi menggalakkan mereka menikmati susu ibu mereka yang manis. Pemberian manisan di peringkat awal akan merangsangkan lagi deria rasa ini. 

Amalan memberikan manisan (tahnik) kepada bayi yang baru dilahirkan cukup bulan atau pramatang adalah sangat sesuai dan selamat. Hal ini kerana doktor tidak memberikan sebarang ubat penahan sakit kepada bayi yang dicucuk kerana bimbang kesan ubat itu terhadap organ bayi yang masih belum matang.

Lebih tepat lagi, tujuan bertahnik ini juga adalah apabila orang yang melakukannya turut mendoakan keberkahan bagi bayi tersebut, sebagaimana dalam hadis shahih Bukhari (10:707) pada hadis Abu Musa Al-Asy’ari dan Sahih Muslim (3:193) dari hadits Aishah radhiyallahu’anha, ‘ Nabi  SAW mendoakan keberkahan bagi mereka.

Alhamdulillah, kedua-dua anak saya juga dapat di tahnikkan oleh abah saya sendiri kerana saya mengetahui betapa tingginya ilmu agama yang ada padanya. Mungkin buat ibubapa diluar sana, awak semua boleh melakukannya sendiri jika tidak berani kerana mahukan lebih keberkatan, boleh memanggil alim ulama sebagai tetamu untuk mentahnikkan bayi awak semua. Sekurang-kurangnya, kita menghidupkan sunnah Rasulullah SAW disamping dapat memberi kekuatan kepada lidah bayi untuk merasai makanannya serta mendapat doa yang baik-baik untuk kesejahteraan mereka kelak.

Sekian.

9 PERKARA SUNNAH ELOK DILAKUKAN PADA HARI JUMAAT

Assalamualaikum.




Salam Jumaat, hari penghulu segala hari… hari yang digelar sebagai sayyidul ayyam!

Bila tiba hari jumaat, kita semua yang bekerja ni rasa seronok dan bersemangat sebab fikir esoknya dah cuti, boleh berehat, boleh keluar bersama keluarga, boleh melakukan aktiviti yang kita sukai. Tapi tahukah kita, hari jumaat bukan sekadar waktu bekerja singkat dan golongan wanita boleh keluar bershopping.

Pada hari jumaat inilah kita diperdengarkan banyak sebenarnya kejadian yang akan berlaku. Di katakan hari kiamat iaitu hari kehancuran dunia ini akan berlaku pada hari jumaat dan beberapa kejadian lain lagi yang banyak berlaku pada hari jumaat.

Hari jumaat ini kita disunatkan melakukan beberapa perkara yang menjadi sunnah, antaranya ialah :

  • Memotong kuku, mencabut bulu ketiak, menggunting misai dan mencukur bulu ari-ari.

  • Bersugi, mandi dan bersihkan diri bagi yang akan menunaikan solat jumaat

  • Memakai wangi-wangian dan meminyakkan rambut

  • Memakai pakaian yang bersih dan cantik, digalakkan berwarna putih.

  • Membaca surah Al-Kahfi pada malam jumaat dan juga siang harinya.

  • Memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW

  • Memperbanyakkan amalan kebaikan seperti sedekah.

  • Perbanyakkan berdoa dan bersolat sunat sebelum solat jumaat dan sesudah solat jumaat.

  • Digalakkan datang awal ke masjid dan diam ketika mendengar imam berkhutbah.


Jom sama-sama kita memuliakan hari jumaat!


Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru azan untuk mengerjakan solat pada hari jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid, untuk mengingati Allah (solat jumaat) dan tinggalkan jualbeli. Demikian itu adalah lebih baik, jika kamu mengetahuinya. Ayat 9: Surah Al-Jumaat.

Sekian.



TIPS MEMETIK BUAH DELIMA YANG TELAH MASAK RANUM

Assalamualaikum.

Suka makan buah delima?
Buah delima ni adalah buah syurga tau...

Mak mertua saya ada tanam pokok delima ni di hadapan rumahnya dan dah berbuah... ada dalam 5-6 biji walaupun baru pertama kali berbuah. Asalkan hujan aje mesti pokok tu berbunga dan berbuah. Sampailah suatu hari ni saya ke rumahnya, saya memang suka sangat buah delima ni. Bila saya belek-belek tengok ada sebiji yang paling besar dan dah kecoklatan. Saya tanya, kenapa mak tak petik lagi? Dia sendiri tak pasti buah tu dah masak ke belum. Saya cakap cuba tengok... tapi nampaknya masih kuning dan kemerahan sedikit kulit luarnya, ada sedikit tompok tompok macam kulit tu buruk.

Eh, dah masak ke belum ni?

Saya sendiri tertanya-tanya buah delima kalau dah masak macamana ye?

Macam gambar di bawah inilah rupa bentuknya, harus ada tompok-tompok seolah-olah buah delima tu macam dah buruk je. Tapi sebenarnya buah begitulah yang dah masak dan sangat manis isinya.


Baca penerangan di bawah ni dengan teliti :




Sekarang dah tahu kan?

Lepas ni kalau nak beli buah delima atau nak petik dari pokok carilah yang buruk dan bertompok-tompok begini ya, confirm sedap dan manis!

Selain itu, buah delima juga bagus sangat untuk ibu mengandung sebab khasiat dan vitamin yang tinggi di dalamnya untuk bayi yang sedang membesar didalam rahim ibu. Syarat nak makan buah ni kena makan sebiji sampai habis tau, tak boleh share dengan orang lain sebab dalam sebiji buah delima ada terkandung satu dari bebiji kecil didalamnya hikmah!

Dulu, masa mengandung Nabihah Insyirah, saya mabuk teruk... buah inilah yang saya suka sekali jamah hari-hari selain buah-buahan lain yang mempunyai banyak vitamin. Kalau saya ke pasar chow kit, dapat pulak buah delima dari India yang warnanya merah keungguan, Ya Allah sukanya hati! Rasa sayang nak makan! Sampai ada kawan mintak pun saya tak bagi, kedekutnya! Hahaha...

Sekian.


YANG DI-PERTUAN AGONG MALAYSIA KE-15

Assalamualaikum.

Daulat Tuanku!!

Alhamdulillah, selesai sudah istiadat angkat sumpah oleh Sultan Muhammad V di Istana Negara pada hari ini tanggal 13 Disember 2016.


Semoga dengan pemerintahan baginda, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong kali ini membawa Malaysia semakin maju di mata dunia. Besar harapan kami sebagai Rakyat Malaysia untuk berada di bawah lembayung kasih tuanku dibawah pemerintahan yang adil dan saksama. 

Daulat Tuanku!
Allahuakhbar!

Sekian.

SALAM MAULIDUR RASUL

Assalamualaikum.

Jom selawat!


Pagi-pagi lagi hujan sudah membasahi Kuala Lumpur, menjadikan cuaca cukup sejuk sekali. Sejuk-sejuk juga tapi selawat pada junjungan besar Nabi Muhammad jangan dilupakan ya! 

Seeloknya, pada zaman kita ini perbanyakkanlah berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW kerana semoga diakhirat kelak kita mendapat syafaat daripada baginda ketika di padang Mahsyar.


Wallahua'lam.

Sekian.


JIRAN YANG SUKA MENYAKITI HATI JIRAN LAIN ANTARA GOLONGAN BAKAL KE NERAKA

Assalamualaikum.

Saya nak tanya siapa antara awak semua yang ada masalah dengan jiran tetangga?

Tentu ada segelintir dari kita yang mengalami masalah dengan jiran tetangga termasuklah saya sendiri! Jiran ini bermaksud orang yang tinggal berhampiran dan berada di kiri, kanan, hadapan dan belakang kita. Malah, boleh jadi jiran setingkat atau jiran setaman. Baiklah, saya nak kupas sikit isu jiran ini memandangkan ramainya jiran yang suka menyakiti hati jirannya yang lain. Bukan kali ini saja saya menemui jiran sebegini, malah telah berkali-kali sejak saya kecil lagi.

Biasanya, jika kita tidak pernah menyakiti hati jiran tetapi jiran pula menyakiti hati kita begitu jugalah sebaliknya. Cuma saya ingin nasihatkan diri saya dan awak semua agar berhentilah mementingkan diri sendiri kerana kita hidup di dunia ini saling memerlukan antara satu sama lain. 

Kisahnya, saya tinggal di rumah berbentuk flat apartment, maka awak semua sedia maklum bagaimana keadaannya. Pintu sebelah menyebelah dan hadapan berhadapan yang boleh dikatakan jaraknya rapat-rapat jugalah. Tetapi, bagusnya pemaju yang buat rumah ni kaki limanya di lebarkan hingga boleh memuatkan 3 orang dewasa berjalan beriringan.

Pintu rumah dibuat berhadapan, namun ada yang berlorong dan ada yang tidak berlorong. Rumah saya tidak berlorong dan agak kurang selesa berbanding rumah jiran hadapan yang berlorong kerana lebih luas dan lebar halamannya. Namun, saya tidaklah iri hati kerana sudah rezeki suami beli rumah begitu!

Saya memiliki 2 orang cahaya mata masih kecil dan kami suami isteri berkerja. Oleh sebab itu, tidak releven untuk saya menyidai pakaian di luar tingkap bilik dan dapur kami kerana keadaan disitu agak tinggi dan tempias apabila hujan. Pernah juga cuba menyidai di dalam rumah berkali-kali namun berkali-kali jugalah baju semua kena hujan dan terpaksa dibasuh sekali lagi. Maka, saya request hubby untuk buat ampaian di hadapan rumah kerana kaki limanya memang lebar dan tidak terkena tempias hujan walaupun rumah tidak berlorong seperti jiran di hadapan rumah kami.

Hubby saya pun memasang ampaian yang boleh dibuka dan dikatup yang melekat pada dinding. Niat saya untuk memudahkan kami serta jiran-jiran agar lebih selesa untuk lalu sekiranya saya tidak menyidai kain. Hampir 2 tahun lebih saya menyidai kain menggunakan ampaian tersebut tanpa ada masalah, namun baru-baru ini ampaian kami telah ditolak-tolak dengan cara kasar dan biadab oleh jiran tanpa kami ketahui sebabnya.

Pada mulanya, saya sendiri tak begitu perasan jiran tersebut berbuat demikian tetapi suami saya selalu perasan sebab apabila saya sidai kain, mesti beberapa jam kemudian ampai yang penuh dengan kain tadi dikatup rapat hingga ke dinding sedangkan baju masih basah di ampaian. Kadangkala hingga kain baju berbau dan hanger kami juga sampai patah! 

Akhirnya, untuk mengenalpasti siapa yang melakukan perkara tersebut saya meletak nota amaran agar jiran tersebut tidak menolak ampaian tersebut lagi namun, dia semakin berani menghentak-hentak ampaian kami dan melaporkan kepada pihak pengurusan bahawa ampaian kami mengganggu laluannya sedangkan jiran-jiran lain tak pernah pun merungut atau membuat aduan sepertinya sedangkan kami sudah buat ampaian itu cukup lama iaitu 2 tahun lebih! Malah penduduk di flat aparment itu ramai juga yang buat ampaian seperti kami malah ada yang buat ampai statik lagi langsung tak boleh nak tolak-tolak dah.

Begitulah, jika jiran terlalu pentingkan diri sendiri... saya dan suami benar-benar sakit hati dengan tindakannya. Awak semua fikirlah, 2 tahun lebih ampaian di situ dia tak pernah peduli tapi sekarang dia buat ampaian kami begitu setiap kali kami menyidai kain.

Ada beberapa kenyataan tentang golongan yang termasuk ke dalam NERAKA. Salah satunya adalah manusia yang sering menyakiti hati jirannya... maka, berhati-hatilah dalam membuat pelbagai tindakan jangan sampai menyakiti hati jiran tetangga. Fikirlah tentang kemaslahatan bersama sesungguhnya kita semua yang Islam ini adalah bersaudara.




Ya Allah, betapa dahsyatnya hukuman bagi golongan yang suka menyakiti hati jiran ini! Saya dan suami memilih jalan bersabar dengan perangai jiran di hadapan rumah kami itu. Saya tetap menyidai kain seperti biasa biarpun dia masih menolak ampaian kami dengan menghentak-hentaknya ke dinding rumah kami. Saya dan suami sudah berbincang untuk biarkan sahaja perkara tersebut, selagi dia tidak mengusik kami anak-beranak suka hati dialah nak buat apapun walaupun hakikatnya kami sangat sakit hati dengan perbuatannya itu.

Ini pula antara beberapa hak jiran :



Jika dilihat antara hak-hak jiran diatas Islam amat menitikberatkan amalan saling hormat menghormati sesama jiran, perpaduan serta kasih sayang. Namun jika berlaku keadaan dilema dalam perkara seperti saya ceritakan tadi, maka hilanglah segala amalan-amalan murni tersebut antara kita sesama muslim.

Perkara paling utama tadi adalah hormat-menghormati. Bukannya sukar tetapi bila ada sifat ego dan sombong dalam diri seseorang, hilang terus rasa hormat dia kepada orang lain dan hilang rasa hormat orang lain kepada dirinya!




Buat awak semua yang juga mempunyai masalah jiran seperti saya, moga artikel ini dapat dijadikan panduan untuk kita semua. Biasalah, siapa yang tidak marah jika ada jiran yang suka menyakiti hati kita kan? Apa yang mampu kita lakukan, perbanyakkan istighfar dan mohonlah perlindungan dari Allah dari segala kejahatan diluar sana.

Sekian.


GAYA PENYUSUAN 'DIRECT FEEDING'


Assalamualaikum.

Bila bayi dilahirkan ibu-ibu semua tentu dah bersedia kan untuk menyusukan ? Tapi, masih ada ibu-ibu yang kurang pasti beberapa gaya untuk melakukan penyusuan lebih-lebih lagi newbie mommy. Jangan risau sebab ada banyak gaya yang selesa buat ibu-ibu yang breastfeeding!

Dulu, saya pun cuma tahu gaya cradle hold sahaja untuk menyusukan bayi pertama saya, kemudian setelah genap umur bayi sebulan, umi saya ajar cara menyusukan gaya lying down. Sampai sekarang pun sebenarnya, saya masih gunakan gaya-gaya tersebut sahaja sedangkan masih ada beberapa gaya lain lagi.

Awak semua boleh rujuk gambar di bawah ni :








Macamana? 

Menarik bukan?

Sekurang-kurangnya, ibu-ibu tak perlu bimbang untuk menukar gaya penyusuan kerana bayi tetap selesa dan susu ibu tetap keluar asalkan ada rangsangan dari bayi ataupun pam susu. Walaupun anda ada kembar sekalipun tetap ada beberapa gaya tersendiri dalam penyusuan susu ibu untuk kemudahan bersama.

Bayi saya yang kedua Nadeem Khalish saya berjaya menyusukan dia hingga hari ini, sudah pelbagai gaya tersendiri dia akan lakukan untuk keselesaan dirinya. Maklumlah, bila bayi dah meningkat dewasa... biasanya perkembangan mindanya semakin meluas dan gaya menyusunya juga semakin bertambah!

Namun, susu masih tetap keluar seperti biasa dan tidak mengalami sebarang masalah. Malah, sejak saya berhenti kerja... semakin banyak pula rezeki buat Nadeem Khalish sekarang ni sampaikan saya rasa macam menyusukan bayi berumur 5-6 bulan semula! 

Sekian.

TEKNIK MARMET ADALAH TEKNIK PERAH SUSU TANPA GAJET

Assalamualaikum.

Ibu-ibu yang menyusukan anak mesti tau apa itu teknik marmet kan?
Antara beberapa gambar yang saya kira dapat membantu untuk lebih jelas apa itu teknik marmet.









Teknik marmet ni jarang sangat saya guna kecuali kalau ada ibu-ibu yang rajin buat memang terbaiklah! Saya difahamkan teknik ini memerlukan cara dan kedudukan yang betul sebelum melakukannya. Tak boleh main hentam picit ikut suka aje tau!

Kebanyakan klinik ibu dan anak atau hospital awam dan swasta pun banyak yang ada poster teknik marmet dengan cara yang betul. Cumanya cara ini dah tak berapa popular memandangkan kita sedia maklum dah ada pam susu manual dan elektrik.

Namun, sebenarnya cara paling baik adalah selepas pam ibu-ibu boleh guna teknik marmet untuk mengosongkan breast sepenuhnya. Jika dilakukan proses susu akan jadi lebih mudah dan cepat penuh! Saya ni agak pemalas, makanya saya tahu tapi tak pernah nak buat pun.

Suatu hari saya tertinggal pam di kampung saya Temerloh, Pahang. Sudah satu kerja saya nak mengepam macamana? Takkan nak beli pam baru kot? Masa tu pulak tengah-tengah bulan kan sengkek la sikit sebab gaji tak dapat lagi. Pam pulak dah biasa guna medela harmony, tak berani nak guna jenama lain sebab macam tak selesa kat breast. Akhirnya, saya teringat tentang teknik marmet ni.

Banyak kali saya mintak tolong encik google nak tengok cara dan kedudukan yang betul. Jadi susah lah sebab selama ni tak pernah nak apply teknik marmet. Kemudian setelah beberapa jam belajar saya mencuba juga untuk buat. Alhamdulillah, senang juga cuma sakit sikit jari sebab kena buat urutan-urutan tertentu pada breast kan.

Saya perlu guna mangkuk pula untuk perah susu sebab keluar tak sekata, jadi terpercik sana-sini sampai basah pulak lantai. Bila guna mangkuk senang sikit nak tangkap air susu tu supaya penuh dalam mangkuk. Tapi, walaubagaimanapun saya kerja dan payah juga nak berlama-lama buat marmet di pejabat. Nasiblah kawan ada yang breastfeeding mommy juga so dia bagi saya pinjam pam susunya. Lega sikit breast sebab bila dah tak larat buat marmet saya stop dan breast cepat membengkak sebab susu tak habis keluar.

Merana juga rasanya nak buat teknik marmet ni sebab tak biasa buat!!


Bagi yang dah cuba dan biasa, teknik marmet ini sangat senang untuk dilakukan, malah lebih banyak susu badan yang mampu diperah berbanding menggunakan pam. Malah, boleh digunakan juga di saat-saat kecemasan ya!

Sekian.

CARA ATASI BENGKAK SUSU

Assalamualaikum.

Siapa pernah kena bengkak susu?
Mesti sakit sangat kan sampai nak demam dan sudahnya demam juga?
Jom saya share tentang bengkak susu pada awak semua ya!


Ibu-ibu lepas bersalin biasanya akan mengalami bengkak susu jika susu badannya terlalu banyak dan tidak dihisap oleh bayi atau tidak dipam. Selain itu, bengkak susu boleh juga berlaku jika bayi sudah semakin membesar dan bertukar waktu menyusu.

Antara sebab lain, ibu-ibu akan mengalami bengkak susu apabila bayi menolak untuk ‘direct feeding’ setelah beberapa hari ditinggalkan. Malah, ibu-ibu boleh mengalami bengkak susu akibat kesukaran memberikan susu secara ‘direct feeding’ kepada bayi kerana masalah puting susu tidak timbul dan sebagainya.

Keadaan ini boleh mengakibatkan ibu berasa sangat sakit dan boleh menyebabkan ibu-ibu demam. Namun, ibu-ibu boleh mengatasi untuk mengurangkan bengkak susu melalui cara urutan, urutan yang betul akan mengurangkan sakit bengkak susu dan air susu bolehlah dikeluarkan untuk melegakan kesakitan. Selain itu, ibu-ibu boleh memberi bayi susu sekerap mungkin agar kesakitan dapat dikurangkan. Sekiranya masih berlarutan, ibu-ibu masih boleh menggunakan pam dengan kerap untuk mengeluarkan air susu yang terlampau banyak.


Credited: En. Google


Cara urutan sendiri untuk mengurangkan bengkak susu, jika breast kiri yang sakit ibu-ibu boleh menggunakan 4 jari kanan diletakkan di bahagian bawah ketiak, tekan sedikit dan tarik perlahan jari tersebut hingga ke aerola. Buat sebanyak mana yang ibu-ibu mampu untuk mengurangkan kesakitan bengkak susu tersebut. Kemudian terus pam dan susukan bayi dengan kerap.

Jika masih tidak mampu untuk melakukannya sendiri, carilah tukang urut atau bidan yang biasanya memang menguruskan wanita selepas bersalin.

Jika terjadi luka / melecet pada bahagian puting susu pula, akibat hisapan bayi atau pam ibu-ibu boleh menyapu lelehan susu di sekitar kawasan yang terjadinya luka pada puting susu. Air susu ibu adalah ubat terbaik bagi mengeringkan luka pada puting susu dan menyembuhkan kesan melecet tersebut. Kebanyakan ibu-ibu baru yang tidak pernah melalui pengalaman ini malu untuk bertanya walaupun kepada ibunya sendiri. Namun, ada juga yang suka bertanya rakan-rakan lain yang sebelum ini pernah ada pengalaman menyusukan. 

Nasihat saya walaupun awak semua rasa malu tapi jangan sampai malu tu jadi penghalang untuk kita menyusukan bayi sendiri hingga umurnya genap 2 tahun ya! Happy breastfeeding mommy!

Sekian.

Cerita Terkini

CARA URUS SUSU IBU PERAHAN ATAU EBM

Assalamualaikum. Tentu ada ibu-ibu yang dah lupa bagaimana nak uruskan susu ibu perahan bila dah bertahun jarak antara anak pertama den...